Seseorang individu itu sebenarnya mempunyai pelbagai matlamat yang ingin dikecapinya dalam kehidupan bermula daripada keperluan asas sehinggalah mencapai tahap tertinggi dalam hidupnya. Teori Hierarki Keperluan Maslow adalah sebahagian daripada teori keperluan tersebut. Ia mempunyai 5 peringkat bagi mencapai kesempurnaan dalam hidup. Teori ini juga menjelaskan betapa pentingnya hidup berkomuniti, kerana ia memberi gambaran bahawa interaksi sesama komuniti kerana sekiranya mereka tidak menyertai komuniti tersebut, bermakna beberapa keperluan ini tidak dipenuhi dan menyebabkan mereka terasing.
Sekiranya mereka terasing dalam komuniti, tumpuan pembangunan serta keperluan beberapa peringkat seterusnya akan terjejas. Ini akan membantutkan usaha pembangunan diri individu itu sendiri dan komuniti secara amnya. Lebih memburukkan keadaan sekiranya, ini menimbulkan kejadian yang bertentangan yang boleh mengancam komunitinya dan komuniti lain.
Perkara yang penting ialah kegiatan di dalam komuniti ianya tidak dapat dilakukan oleh ahli komuniti secara individu. Ini bermakna bahawa keperluan di dalam komuniti hanya dapat dilaksanakan melalui interaksi dan tindakan secara berkumpulan. Itulah yang dikenali sebagai institusi. Misalnya institusi JKKK yang memainkan peranan di peringkat kampung bagi memenuhi keperluan penduduknya.
Sebagai sebuah institusi yang telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk melaksanakan program atau melahirkan idea pembangunan, JKKK perlu memainkan peranannya dengan penuh tanggung jawab melalui penggembelingan semua sumber secara optimum. Kata orang, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana sepakat. Dengan kesepakatan jugalah kita dapat melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik dan berkesan. Seharusnya JKKK berganding bahu untuk melahirkan idea bernas bagi memajukan komunitinya. Secara tidak langsung ia dapat melahirkan komuniti yang berdikari dan mampu melaksanakan pembangunan berasaskan keperluan mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment