Tuesday, December 30, 2008

WAWASAN 2020

Pendahuluan

Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Tun Dr. Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri ke empat Malaysia telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia - Langkah ke Hadapan" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".

Wawasan 2020 merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.

Objektif

Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikat cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

Cabaran

1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama.

2. Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah.

3. Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang.

4. Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.

5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak-ansur.

6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.

7. Mewujdukan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi.

8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.

9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, giat dan kental.


Cabaran-cabaran di atas telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah ;

1. Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia

Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit.

2. Negara Perindustrian

Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian yang lengkap adalah mempunyai status negara maju. Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah mampu mencipta dan memperbaharui.

3. Keadilan Ekonomi dan Sosial

Pewujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memanglah perlu kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi keciciran. Pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosio-ekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan di antara bandar dan luar bandar perlu diberi perhatian utama.

4. Moral dan Etika

Negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan.

5. Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan

Kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini tidak dinafikan peri pentingnya kerana keluarga (rumahtangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara.

Wawasan 2020 bukanlah sekadar slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur.