Tuesday, August 4, 2009

LEBUHRAYA PLUS - LEBUHRAYA PAN BORNEO SARAWAK, SUATU PERBANDINGAN


Projek lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebagaimana yang terpapar pada gambar. Sedangkan lebuhraya Pan-Borneo dari Selatan ke Utara Sarawak, setiap masa tidak pernah sempurna, ada sahaja kerja-kerja pembaikan. Persoalannya, adakah jurutera-jurutera di Sarawak tak pandai buat kerja? Saban tahun, pilihanraya(PR) demi pilihanraya keadaan lebuhraya (tetapi standard macam jalan kampung di semenanjung) di negeri Sarawak tidak ketara perubahannya. Jalan paling baik ketika ini adalah laluan Kuching-Serian yang memiliki ciri-ciri lebuhraya. Selain laluan dari sempadan Sebangkoi-Saratok-Betong, antara lebuhraya yang mesra pengguna. Walaupun BN Sarawak mengamalkan politik pembangunan, namun kepesatan pembangunannya masih perlahan berbanding di semenanjung. Tak payah tengok benda lain, lebuhraya Sarawak sahaja sudah cukup memberi gambaran betapa jauhnya perbandingan Sarawak dan semenanjung. Memang tak pernah aman lebuhraya di Sarawak, setiap masa akan dikorek, ditampal, diperbaik, tapi tak pernah baik-baik. Betulker tak pernah baik-baik (persoalan)? Bagi saya, saya mengiyakan persoalan tersebut. Namun kemudahan lebuhraya inipun terhad untuk digunakan kerana masih banyak kawasan pedalaman yang memerlukan kemudahan seperti ini belum dilaksanakan pembangunannya. Rakyat di pedalaman Sarawak seperti Kapit dan Ba' Kelalan juga membutuhkan kemudahan tersebut. Balik semula kepada persoalan lebuhraya tak pernah baik-baik, saya merujuk kepada keadaan lebuhraya tersebut dari zaman 70an hingga sekarang, kalau highway di kawasan Betong-saratok-Sebangkoi sempurna, highway di Selangau, Bukit Serian atau Betong-Sri-Aman-Serian pula dalam proses pembaikan. Kalau proses pembaikan di kawasan tu dah sempurna, kawasan lain pula diramalkan akan mengalami proses pembaikan, pada hemah saya jalanraya yang bakal diperbaiki adalah Sebangkoi-Sarikei-Sibu. Pembaikan demi pembaikan, memang tak pernah aman. Betul atau tidak terpulang kepada rakyat Sarawak untuk menilainya.

Tuesday, December 30, 2008

WAWASAN 2020

Pendahuluan

Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Tun Dr. Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri ke empat Malaysia telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia - Langkah ke Hadapan" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".

Wawasan 2020 merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.

Objektif

Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikat cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

Cabaran

1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama.

2. Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah.

3. Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang.

4. Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.

5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak-ansur.

6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.

7. Mewujdukan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi.

8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.

9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, giat dan kental.


Cabaran-cabaran di atas telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah ;

1. Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia

Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit.

2. Negara Perindustrian

Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian yang lengkap adalah mempunyai status negara maju. Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah mampu mencipta dan memperbaharui.

3. Keadilan Ekonomi dan Sosial

Pewujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memanglah perlu kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi keciciran. Pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosio-ekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan di antara bandar dan luar bandar perlu diberi perhatian utama.

4. Moral dan Etika

Negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan.

5. Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan

Kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini tidak dinafikan peri pentingnya kerana keluarga (rumahtangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara.

Wawasan 2020 bukanlah sekadar slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur.

Thursday, October 9, 2008

KESEPAKATAN

Seseorang individu itu sebenarnya mempunyai pelbagai matlamat yang ingin dikecapinya dalam kehidupan bermula daripada keperluan asas sehinggalah mencapai tahap tertinggi dalam hidupnya. Teori Hierarki Keperluan Maslow adalah sebahagian daripada teori keperluan tersebut. Ia mempunyai 5 peringkat bagi mencapai kesempurnaan dalam hidup. Teori ini juga menjelaskan betapa pentingnya hidup berkomuniti, kerana ia memberi gambaran bahawa interaksi sesama komuniti kerana sekiranya mereka tidak menyertai komuniti tersebut, bermakna beberapa keperluan ini tidak dipenuhi dan menyebabkan mereka terasing.

Sekiranya mereka terasing dalam komuniti, tumpuan pembangunan serta keperluan beberapa peringkat seterusnya akan terjejas. Ini akan membantutkan usaha pembangunan diri individu itu sendiri dan komuniti secara amnya. Lebih memburukkan keadaan sekiranya, ini menimbulkan kejadian yang bertentangan yang boleh mengancam komunitinya dan komuniti lain.

Perkara yang penting ialah kegiatan di dalam komuniti ianya tidak dapat dilakukan oleh ahli komuniti secara individu. Ini bermakna bahawa keperluan di dalam komuniti hanya dapat dilaksanakan melalui interaksi dan tindakan secara berkumpulan. Itulah yang dikenali sebagai institusi. Misalnya institusi JKKK yang memainkan peranan di peringkat kampung bagi memenuhi keperluan penduduknya.

Sebagai sebuah institusi yang telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk melaksanakan program atau melahirkan idea pembangunan, JKKK perlu memainkan peranannya dengan penuh tanggung jawab melalui penggembelingan semua sumber secara optimum. Kata orang, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana sepakat. Dengan kesepakatan jugalah kita dapat melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik dan berkesan. Seharusnya JKKK berganding bahu untuk melahirkan idea bernas bagi memajukan komunitinya. Secara tidak langsung ia dapat melahirkan komuniti yang berdikari dan mampu melaksanakan pembangunan berasaskan keperluan mereka sendiri.

Wednesday, October 8, 2008

MADAH BESTARI KOLEKSI 1

1. Saya lebih rela mencuba sesuatu dan gagal, daripada tidak mencuba langsung dan dianggap berjaya.

2. Kalau anda arif bijaksana, anda akan mengetahui bahawa kegagalan anda sama pentingnya dengan kejayaan-kejayaan anda.

3. Bagaimanapun pintarnya seseorang, fikirannya tidak akan mencakup semua persoalan. Bertambah tinggi kedudukan seseorang, bertambah jelaslah di mana kelemahannya.

4. Menyedari bahawa anda bodoh adalah langkah yang besar dalam mencari pengetahuan.

5. Kita melihat bahagia itu seperti pelangi, tidak pernah berada di atas kepala kita sendiri, selamanyalah di atas kepala orang.

6. Seseorang yang mempunyai kepercayaan terhadap sesuatu perkara, sudah cukup untuk menyamai kehebatan 99 orang yang hanya mempunyai minat.

7. Tahukah anda bahawa hidup yang berguna ialah hidup yang ketika petang ada menyediakan lampu kerana malam hari akan tiba.

8. Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, jatuh ke darat menjadi bukit. Tetapi tidak semua benih yang baik boleh tumbuh dan tidak semua benih yang buruk terus tidak tumbuh.

9. Berlakulah sederhana pada sesiapa juga, hingga orang yang di bawah kita akan menghargai dan orang yang di atas kita menyenangi.

10. Tidak susah nak susah, Bukan Senang Nak Senang.

11. Tidak ada kekayaan yang melebihi kesihatan badan, dan tidak ada kegembiraan yang melebihi kesenangan hati.

12. Tujuan perbaikan akhlak ialah untuk membersihkan kalbu dari kotoran-kotoran hawa nafsu dan amarah hingga ia jernih bagaikan cermin yang dapat menerima cahaya dari TUHAN.

13. The only educated man is the one who has learned how to learn.

14. Sesuatu pekerjaan yang dicapai dengan bersusah-payah itu lebih lazat hasilnya daripada suatu hasil yang diperoleh dengan mudah.

15. Budi merangkak, akal menjalani, ikhtiar memilih, untung menyudahi.

16. Mempercayai diri anda lemah sebelum benar-benar terbukti anda lemah adalah kelemahan anda yang paling lemah.

17. Apa yang kita pelajari hari ini mungkin tidak berguna lagi pada hari esok. Tetapi kalau tidak belajar hari ini sudah tentu kita akan menjadi manusia yang sebodoh-bodohnya pada hari esok.

18. Hargailah orang rendah, ketahuilah bahawa sutera asalnya daripada ulat.

19. Lari dari musuh, kenapa tidak kejar musuh? Lari dari kawan, kenapa tidak kejar kawan? Lari dari kenyataan, kenapa tidak kejar kenyataan?

20. Anda tidak patut menukar sampan sewaktu sedang berkayuh di tengah sungai. Tetapi jika perahu telah bocor, lebih baik anda bersiap-siap untuk berenang sekarang.

21. Perbuatan yang semudah-mudahnya ialah mencela, kerana mudahnya selalu dikerjakan orang. Pekerjaan yang sesulit-sulitnya ialah memperbaiki diri, kerana sulitnya sentiasa ditinggalkan orang.

22. Tanda akal seseorang itu ialah pekerjaannya dan tanda ilmu seseorang itu ialah perkataanya.

23. Kita tidak perlu menyesal kalau orang lain tidak mengetahui pengetahuan kita. Kita harus bersusah hati kalau kita tidak mengetahui pengetahuan orang lain.

24. Pandai tanpa akhlak adalah miskin, dan akhlak tanpa akal adalah lemah.

25. Bekerja itu pahit akarnya, tetapi manis buahnya.

26. Kalau kita kaya, selalu kita lupa. Kalau kita miskin, selalu kita kecewa. Kalau kita kuat selalunya jadi jahat. Kalau kita cantik selalu lupa diri. Kalau kita cerdik selalu hidung tinggi.

27. Semua manusia itu binasa, kecuali yang berilmu. Yang berilmupun buta - tak kenal arah, kecuali yang mahu mengamalkannya. Dan yang mahu mengamalkannya pun akan sia-sia kecuali yang mengamalkannya dengan penuh ikhlas.

28. Awal dari pengetahuan itu ialah diam, lalu mendengar. Kemudian menyerap, mengamalkan dan menyebarluaskan. Seterusnya ajarkan ilmu itu kepada orang yang tidak mengetahuinya.

29. Masalah itu adalah tanda kehidupan. Semakin banyak masalah anda, semakin hidup anda.

30. Orang yang tidak mencintai tanah airnya sendiri tidak akan mencintai apa-apa.

Kalau ada yang tambah madah bestari, sila kongsikan di dalam komen anda, dialu-alukan perkongsian ilmu ini, terima kasih.

CAKAP BAGUS

Dalam menghadapi era globalisasi dan ledakan maklumat dan komunikasi, usaha meningkatkan `komunikasi pembangunan' menjadi semakin penting dengan munculnya kehendak untuk membina masyarakat berilmu dan berinformasi atau K-Society. Kuasa berfikir masyarakat dan kebolehan melakukan inovasi perlu diberi penekanan agar mereka mampu untuk bersaing dan menghadapi cabaran-cabaran sosio ekonomi masa kini. Dengan cara inilah akan terbitnya kesedaran mengubah sikap dan mentaliti, memberansangkan komuniti untuk menimba dan mencintai ilmu serta menerima dan mencuba idea-idea mutakhir ke arah peningkatan kualiti dan taraf hidup mereka.

Saya terpanggil memberikan komen mengenai perkhidmatan Pusat Maklumat Rakyat atau akronimnya PMR yang disediakan oleh seluruh pejabat Jabatan Penerangan Malaysia. Dunia semakin maju, zaman dah berubah, teknologi ICT berkembang pesat, rugi kalau tidak bijak mengambil kesempatan menggunakan perkhidmatan PERCUMA ini. Walaupun kelajuan internet nya longlai menandingi keupayaan internet di kafe siber, cukup bagus kerana pelanggan tidak dikenakan apa-apa bayaran sekadar melalui prosedur penggunaan oleh pegawai yang bertugas.

Dunia maya internet boleh diterjah langkah dengan menggunakan khidmat PMR internet di seluruh pejabat Jabatan Penerangan Malaysia. Segala bentuk maklumat boleh dilayari, terpulang kepada kehendak masing-masing (pelayaran internet hanya khusus kepada bentuk MAKLUMAT semata-mata yang dibenarkan). Kepada generasi muda yang berada jauh di pedalaman tetapi mempunyai pendidikan sempurna yang luak kerja, nasihat saya gunakan teknologi internet untuk membuat permohonan kerja dalam talian (online). Daripada membuang duit RM1 atau RM2 untuk bayaran melayari internet untuk tempoh sejam di kafe siber, alangkah baik simpan duit tersebut untuk faedah lain dan hayunkan langkah masuk ke pejabat Jabatan Penerangan Malaysia dan gunakan perkhidmatan internet PMR.

Dunia maya internet adalah dunia yang cukup luas yang menjadi wadah segala maklumat. Ingatlah, ketinggian ilmu seseorang tidak dapat diukur dengan pita melainkan dipergunakan. Jika manusia tidak kuat mencari jalan untuk menuju bahagia atau tidak kuat menyingkirkan diri dari jalan sengsara dan celaka, jangan sesekali berputus-asa dan mestilah berpegang-teguh dengan tali kebenaran, mesti kuat dan tidak boleh menyerahkan diri kepada sengsara dan tidak beruntungnya, mesti tahu bahawa dahulu daripada kita, sudah berpuluh-puluh keturunan insan yang menjadi korban. Mereka telah memilih jalan sesat dan mereka telah terjatuh, kita yang terkemudian mendapat pengajaran daripada kejatuhannya, mesti memilih jalan lain, jalan yang tidak tersasar.